Lelaki kurang waras berenang tengah tasik berjaya diselamatkan

Sinar Harian
Julai 9, 2022 04:20 MYT
Tindakan pantas bomba berjaya menyelamatkan seorang lelaki dipercayai mengalami gangguan mental daripada lemas di Taman Tasik Sri Rampai pada Sabtu. -Gambar JBPM
KUALA LUMPUR: Tindakan pantas pasukan penyelamat berjaya menyelamatkan seorang lelaki dipercayai mengalami gangguan mental daripada lemas di Taman Tasik Sri Rampai, Jalan Kilang di sini, pada Sabtu.
Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur dalam satu kenyataan berkata, sebuah jentera dikerahkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan daripada pihak polis pada jam 6.39 petang.
"Pihak polis memohon bantuan pihak bomba untuk menyelamatkan seorang lelaki dipercayai kurang waras yang telah berenang sejauh 100 meter ke tengah-tengah tasik tersebut.
"Pasukan bomba berjaya menyelamatkan lelaki tempatan berumur 20 tahun itu pada jam 7.25 petang," menurut kenyataan tersebut pada Sabtu malam.
JBPM berkata, lelaki tersebut dipercayai berhalusinasi sehingga mendorongnya bertindak sedemikian.
Katanya, mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. -Sinar Harian.
#kurang siuman #berenang tengah tasik #Taman Tasik Sri Rampai #gangguan mental
;