Lelaki Korea Utara akan dibebaskan, dihantar pulang - Peguam Negara
Bernama
Mac 2, 2017 16:59 MYT
Mac 2, 2017 16:59 MYT
Seorang lelaki Korea Utara yang ditahan untuk siasatan berhubung pembunuhan rakan senegaranya akan dibebaskan dan dihantar pulang secepat mungkin, kata Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali.
Ini berikutan kekurangan bukti untuk mendakwa Ri Jong-chol, 47, katanya kepada Bernama hari ini.
Lelaki itu telah direman sejak 18 Feb berhubung pembunuhan Kim Chol, yang dilaporkan secara meluas sebagai Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong-un.
Perintah reman ke atas lelaki itu akan tamat esok dalam kes itu yang mendapat perhatian antarabangsa.
Sebelum ini dilaporkan, Jong-nam berada di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2) pada 13 Feb untuk menaiki penerbangan ke Macau apabila tiba-tiba dua wanita menyapu mukanya dengan cecair toksik yang kemudiannya dikenal pasti sebagai agen saraf VX.
Jong-nam dilaporkan mendapatkan bantuan di kaunter khidmat pelanggan di lapangan terbang itu dan segera dihantar ke Hospital Putrajaya namun meninggal dunia semasa dalam perjalanan. Beliau datang ke Malaysia pada 6 Feb.
Semalam, dua wanita asing didakwa di Mahkamah Majistret di Sepang atas pertuduhan membunuh Kim Chol.
Siti Aisyah, 25, warga Indonesia, dan Doan Thi Huong, 28, warga Vietnam, bersama-sama empat orang lagi yang masih bebas, didakwa membunuh Kim Chol, 45 di Balai Berlepas klia2, kira-kira 9 pagi, pada hari berkenaan.
Kedua-dua wanita itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
-- BERNAMA