Lelaki khayal dadah ugut isteri, anak dengan parang

Dewi Nur Harasha Alias
Disember 13, 2020 12:57 MYT
Parang yang digunakan suspek untuk menakutkan isteri dan anaknya. -PDRM
KEPALA BATAS: Seorang lelaki mengugut isteri dan dua anaknya dengan parang sebelum mengurung diri bersama mereka di dalam bilik di rumah mereka di Pokok Sena, Kepala Batas, Pulau Pinang.
Dalam kejadian jam 7.30 malam Sabtu, lelaki berusia 46 tahun yang dipercayai berada di bawah pengaruh dadah itu cuba menakutkan isteri dengan memegang parang berukuran 54 sentimeter.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor dalam kenyataan hari ini berkata suspek telah menyuruh isterinya yang berusia 45 tahun dan dua anak mereka -- masing-masing berusia empat dan 12 tahun -- untuk masuk ke bilik rumah dua tingkat dan bertindak mengunci pintu sebelum membuka radio.
Noorzainy berkata mangsa bagaimanapun berjaya melepaskan diri dan mendapatkan pertolongan bapa saudara yang tinggal di rumah bersebelahan ketika meminta izin untuk ke tandas.
"Isteri dan anak sulung suspek mahu ke tandas dan suspek membenarkan namun bertindak mengekori mereka ke tandas," kata Noorzainy.
Menurutnya, suspek berjaya ditahan dan hasil siasatan mendapati ia kali pertama suspek bertindak sedemikian.
"Isteri suspek yang bekerja sebagai pembantu tadika memberitahu suaminya tidak mengugut atau mencederakan sesiapa.
"Namun tindakan suspek mengeluarkan parang membuatkan dia takut dan bimbang jika suaminya bertindak di luar kawalan," kata Noorzainy.
Ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas suspek mendapati dia positif dadah jenis syabu.
Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
#Dadah #Syabu #Noorzainy Mohd Noor #ugut isteri #ugut anak dengan parang #pembantu tadika #Seksyen 506 #Kanun Keseksaan
;