Lelaki keluar memasang pukat ketam ditemui lemas
Petrus Bernard
Mei 22, 2022 10:15 MYT
Mei 22, 2022 10:15 MYT
SEMPORNA: Seorang lelaki warga asing ditemui lemas setelah keluar memasang pukat ketam bakau di kawasan laut Sungai Bulian, Pulau Pababaq, di sini, pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Semporna Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, mayat mangsa berumur 47 itu ditemui terapung oleh orang awam sejauh 500 meter dari lokasi bot pam mangsa ditemui.
"Makluman awal mendapati mangsa keluar memasang pukat ketam bakau di Sungai Bulian pada Jumaat lalu, kira kira jam 1.30 petang, dan tidak pulang sehinggalah bot pam mangsa ditemui pada Sabtu, jam 10.30 pagi," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) melibatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Pasukan Polis Marin (PPM), pasukan Bomba dan Penyelamat serta bantuan orang kampung digerakkan dan mayat mangsa ditemui pada jam 3.11 petang hari yang sama.
Ujar Mohd Farhan, pemeriksaan awal ke atas mayat mangsa di lokasi tidak menemui tanda-tanda lebam yang menunjukkan berlakunya jenayah.
Mayat mangsa seterusnya dibawa ke bilik mayat Hospital Semporna untuk tujuan bedah siasat.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut, katanya.