Lelaki ke tali gantung bunuh warga emas di Batu Pahat dengan kayu besbol

Bernama
Jun 29, 2016 13:28 MYT
Tertuduh melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati. - Gambar fail
Seorang bekas pengawal keselamatan dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini setelah didapati bersalah menyebabkan kematian seorang warga emas wanita dengan memukul kepala mangsa menggunakan kayu besbol dalam kejadian rompakan di sebuah kedai runcit pada 2013.
Pesuruhjaya Kehakiman Muhammad Jamil Hussin menjatuhkan hukuman itu ke atas Zulkifli Mohamad, 37, setelah pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.
Menurut hakim, kes jenayah yang dilakukan oleh tertuduh bermula dari rompakan sehingga berakhir dengan kematian mangsa, Law Pow Ling, 77, Muhammad Jamil juga berkata tertuduh telah memukul kepala si mati dengan sengaja menggunakan kayu besbol sehingga menyebabkan kematian.
Tertuduh didakwa melakukan rompakan di sebuah kedai runcit, Syarikat Perniagaan Choong, No 101, Jalan Jelawat, Taman Banang, Batu Pahat antara 12.01 tengah malam hingga 8.30 pagi pada 22 Nov 2013.
Tertuduh melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rasyidah Murni Adzmi manakala tertuduh diwakili peguam P. Thirumalai.
#hukum gantung #mahkamah #pukul warga emas dengan besbal
;