Lelaki jatuh sungai ditemui lemas

Sinar Harian
April 22, 2022 08:30 MYT
Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. - Foto Sinar Harian
GEORGE TOWN: Seorang lelaki ditemui lemas selepas terjatuh ke dalam sungai berhampiran Taman Areca Pinang Park di sini, pada malam Khamis.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima laporan kejadian jam 8.14 malam sebelum operasi mencari dan menyelamat mangsa digerakkan.
Menurutnya, seramai 24 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak dan Bagan Jermal terlibat dalam operasi terbabit selain dibantu oleh komuniti nelayan yang menggunakan bot persendirian.
"Selepas lebih dua jam melakukan pencarian di sekitar kawasan yang dilaporkan terjatuh akhirnya mayat lelaki terbabit berjaya ditemukan oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) kira-kira jam 10.37 malam.
"Mangsa dikenali sebagai Muhammad Amiruddin Biddin, 21, dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang turut berada di lokasi kejadian,"katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.
Beliau berkata, mayat lelaki berkenaan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi ditamatkan sepenuhnya jam 11.13 malam.
* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.
#pusat gerakan operasi #lemas #bomba #Taman Areca Pinang Park
;