Lelaki jatuh lombong ditemukan lemas

Sinar Harian
November 1, 2023 09:30 MYT
Seorang lelaki ditemukan lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam lombong berdekatan PPR Intan Baiduri, di Kuala Lumpur, pada Selasa. - Foto Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki ditemukan lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam lombong berdekatan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Intan Baiduri, di sini, pada Selasa.
Komander Operasi, Penguasa Kanan Bomba II, Mohd Haikal Md Kasri berkata, Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan pada jam 11.26 malam.
"Seramai 16 anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Jinjang bergegas ke lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Mohd Haikal berkata, setibanya di lokasi, laporan awal daripada orang awam memaklumkan seorang lelaki berusia 20-an dipercayai lemas.
"Operasi siasatan dan pencarian dijalankan bermula di sekitar tebing kawasan lombong, kita menemui barang peribadi milik mangsa kira-kira 10 meter dari tebing.
"Sebuah bot kecil yang dinaiki dua anggota telah diarahkan pencarian di permukaan air (water surface searching) dengan pencahayaan jentera (floodlights) serta menggunakan "grappling hook'," katanya.
Beliau berkata, mangsa telah berjaya dijumpai oleh anggota kira-kira 1.5 meter dari tebing pada jam 1.33 pagi, Rabu.
"Mangsa telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia, mayat telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya. - Sinar Harian
#lemas #lombong #PPR Intan Baiduri #JBPM
;