Lelaki jatuh bumbung terperangkap dalam rumah jiran

Adie Sufian Zulkefli
September 17, 2022 23:14 MYT
Pasukan penyelamat menemui mangsa dalam keadaan terbaring dan tidak dapat bangun. - Foto ihsan JBPM
ALOR SETAR: ‘Malang tidak berbau’ namun lebih malang apabila terjatuh ke dalam rumah jiran yang tidak berpenghuni.
Demikian nasib menimpa seorang lelaki yang sedang membaiki bumbung rumahnya apabila tidak menyedari dia memijak bahagian bumbung rapuh lalu terjatuh ke dalam rumah jirannya di kawasan perumahan di Taman Teratai Jingga, di sini hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Kedah menerima panggilan daripada isteri mangsa pada jam 5.56 petang.
Katanya, sebaik sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja tiba, mereka mendapati pintu rumah jiran itu berkunci dari luar dan mangsa terperangkap di dalamnya.
"Sebaik tiba isteri mangsa memaklumkan suaminya sedang membaiki bumbung rumah mereka yang bocor dan secara tiba-tiba terjatuh daripada bumbung ke dalam rumah jiran sebelah yang berkunci.
"Kemudian komander operasi mengarahkan anggota menggunakan alatan khas sambil dipantau pihak polis membuka pintu rumah jiran mangsa,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Mohamadul Ehsan berkata, sebaik memasuki rumah itu pasukan penyelamat menemui mangsa dalam keadaan terbaring dan tidak dapat bangun.
“Mangsa berusia 61 tahun itu mengalami kecederaan dalaman di bahagian pinggang dan belakang akibat terjatuh dari tempat tinggi,” ujarnya.
Katanya, mangsa kemudianya dibawa keluar dengan menggunakan pengusung sebelum diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk dihantar ke hospital.
#jatuh #bumbung #jiran #Taman Teratai Jingga #JBPM Kedah
;