Lelaki jatuh bot ketika memancing ditemukan lemas
Bernama
Oktober 28, 2023 21:26 MYT
Oktober 28, 2023 21:26 MYT
IPOH: Seorang lelaki yang terjatuh daripada bot yang dinaikinya ketika memancing dalam kejadian di Kampung Sungai Jarau, Kati dekat Kuala Kangsar semalam, ditemukan lemas lewat petang tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata mayat Mohd Faiz Azman, 33, ditemukan orang awam pada 5.30 petang tersangkut di pulau di Kampung Buaya, lebih kurang 25 kilometer dari lokasi mangsa jatuh.
Terdahulu katanya kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa masuk hari kedua bermula 9 pagi tadi, dihentikan jam 5 petang kerana keadaan cuaca hujan lebat dan sepatutnya disambung esok.
"Operasi SAR dilaksanakan menggunakan teknik mencari di permukaan air dari lokasi mangsa terjatuh hingga ke jeti Kuala Kangsar dengan radius pencarian dilakukan sejauh 12 kilometer, namun gagal," katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, dalam kejadian awal pagi semalam, mangsa bersama dua rakannya bertolak dari Jeti Kampung Jarau, sebelum bot dinaiki mereka terlanggar batu di tengah sungai menyebabkan mangsa terjatuh ke dalam sungai.
Sementara itu dalam kenyataan berasingan, Sabarodzi berkata operasi mencari seorang warga emas Ali Pandak, 68, yang dilaporkan anaknya hilang sejak petang semalam di Kampung Saseh Perkampungan Orang Asli Pos Porwor di Sungai Siput, dihentikan dan disambung esok.
Pandak dikhuatiri hilang apabila anaknya menyedari bapanya tiada di rumah dan cuba mencari di sekitar kawasan rumah, namun gagal ditemukan.
Mangsa yang dipercayai kurang sihat dan jarang keluar rumah, dilihat kali terakhir berada di kediamannya oleh adik iparnya pada 7 pagi Khamis.
-- BERNAMA