Lelaki jatuh bot ditemukan terapung

Sinar Harian
April 1, 2024 07:50 MYT
Operasi SAR mangsa di perairan Pulau Tanjung Batu, Sandakan. - Foto Sinar Harian
SANDAKAN: Lelaki yang dilaporkan hilang selepas terjatuh dari bot ditemukan meninggal dunia di perairan Pulau Tanjung Batu di sini semalam.
Mayat Simran Asarap, 23, ditemukan oleh penduduk kampung dalam keadaan terapung di laut.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dimulakan sebaik menerima laporan berhubung kehilangan mangsa.
"Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan melakukan SAR sebelum dimaklumkan penemuan mangsa pada jam 3.34 petang.
"Mangsa ditemukan oleh orang awam sejauh satu kilometer dari dia dilaporkan hilang dan mangsa telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak polis," katanya dalam kenyataan semalam.
Katanya lagi, mayat kemudian dibawa ke rumah ahli keluarga untuk tindakan selanjutnya.
"Susulan penemuan mayat mangsa, operasi ditamatkan pada jam 4.40 petang," katanya.
Sinar Harian sebelum itu melaporkan mangsa terjatuh dari bot selepas bot yang dinaikinya bertembung dengan bot lain di perairan tersebut. - Sinar Harian
#lelaki jatuh bot #mayat ditemui terapung #Sandakan #bot bertembung
;