Lelaki jatuh bot ditemukan lemas

Bernama
September 16, 2024 20:31 MYT
Mohd Najhan berkata mayat Mohamad Akhmal ditemukan terapung di kedudukan kira-kira 7.4 batu nautika barat daya Ban Pecah, di perairan berkenaan pada 12.30 tengah hari. - Gambar APMM Perak
IPOH: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang semalam selepas dipercayai terjatuh dari bot, ditemukan lemas di perairan Tanjung Piandang, Kerian, hari ini.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Kurau Komander Maritim Mohd Najhan Azman Hamid berkata mayat Mohamad Akhmal Mohd Yusuf, 23, ditemukan terapung di kedudukan kira-kira 7.4 batu nautika barat daya Ban Pecah, di perairan berkenaan pada 12.30 tengah hari.
"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dijalankan bermula 10 pagi semalam dan tamat pada 1.35 tengah hari tadi.
"Mayat ditemukan oleh nelayan dan dibawa ke Jeti Sungai Betul, Tanjung Piandang untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata operasi SAR hari ini diperluas meliputi 73 batu nautika melibatkan kawasan Kuala Gula hingga sempadan Pulau Pinang.
Semalam media melaporkan Mohamad Akhmal bersama-sama rakannya Mohd Nasrol Shah Syed Mohd Yusoff, 16, telah keluar merawai ikan di Jeti Sungai Betul pada 5 petang, sebelum keadaan laut dilanda ribut dan mengakibatkan kedua-duanya terjatuh ke laut.
Bagaimanapun, Mohd Nasrol Shah terselamat dalam kejadian itu.
-- BERNAMA
#APMM #SAR #nelayan #lemas
;