Lelaki jadikan pengusaha tembikar tebusan ditembak mati

Astro Awani
Ogos 12, 2016 10:54 MYT
Anggota polis berkawal di kedai tembikar Ah Son di mana seorang penjenayah berjaya ditembak mati oleh anggota polis selepas menahan seorang tebusan pemilik kedai tembikar di Ayer Hitam malam tadi. - Foto Bernama
Seorang penjenayah ditembak mati selepas empat jam menahan tebusan iaitu seorang pemilik kedai tembikar di Ayer Hitam di sini, tengah malam tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pada jam 8.20 malam semalam, suspek dikatakan masuk ke kedai tersebut lalu meminta wang tebusan daripada mangsa.
Tambahnya, meskipun wang tebusan sebanyak RM300,000 telah dibayar keluarga mangsa, suspek enggan melepaskan mangsa.
“Semasa perundingan dijalankan, pihak polis mengambil masa hampir empat jam bermula pukul 8.30 malam sampai 12.30 malam.
“Pada akhirnya, suspek bertindak dengan cuba menembak mangsa dan pada masa tersebutlah pihak polis telah mengambil tindakan dan menembak mati suspek,” ujarnya.
Seorang wanita yang berusia 53 tahun terselamat dalam kejadian itu, walau bagaimanapun mangsa mengalami trauma dan dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail di sini.
Polis turut menjumpai dua pucuk pistol jenis revolver dan semi auto Smith & Wesson yang berisi peluru.
Setakat ini, hubungan antara mangsa dan suspek amsih disiasat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Culik 1961 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971, yang membawa penalti lebih berat.
#AYER HITAM #mangsa tebusan #pengusaha tembikar #suspek ditembak mati
;