Lelaki Indonesia dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus sungai
Bernama
Januari 26, 2024 07:15 MYT
Januari 26, 2024 07:15 MYT
KUANTAN: Seorang lelaki warga Indonesia dikhuatiri lemas selepas didakwa dihanyutkan arus semasa menyeberangi Sungai Mas di Sungai Lembing di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata mangsa dikenali sebagai Suprianto, 43, yang berasal dari Bojonegoro didakwa turun ke sungai sekitar 4 petang.
"Berdasarkan keterangan saksi yang sedang memancing, mangsa dilihat terkapai-kapai semasa hampir sampai di tebing sungai sebelum dihanyutkan arus.
"Saksi itu tidak dapat membantu mangsa kerana arus sungai terlalu deras ekoran hujan lebat sejak beberapa hari lepas," katanya menerusi kenyataan di sini semalam.
Wan Mohd Zahari berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan petang semalam melibatkan pencarian di permukaan air memandangkan keadaan sungai masih berbahaya.
SAR ditangguhkan pada 6.30 petang semalam kerana cuaca gelap dan akan bersambung hari ini.
-- BERNAMA