Lelaki India tenggelam, lelaki Indonesia timbul

Rohana Wahed
Jun 30, 2018 10:45 MYT
Mayat yang dijumpai tersangkut di akar pokok itu dikenal pasti sebagai Muhammad Sanim, seorang warga Indonesia berusia 31 tahun. - JBPM Sarawak
Seorang lelaki India dilapor terjatuh sungai tetapi apa ditemui berhampiran lokasi kejadian adalah mayat seorang lelaki Indonesia!
Menurut Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri, Tiong Ling Hii, mereka dimaklumkan seorang nelayan menemui objek seakan-akan mayat manusia pada akar pokok di sungai Kampung Sejingkat di sini, pada jam 12.37 tengah hari Jumaat.
"Selepas menerima aduan itu, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) bergegas ke lokasi dan menjumpai mayat yang tersangkut pada bahagian akar pokok itu," katanya semalam.
Kata Ling Hii, sebelum ini seorang lelaki India dikenali sebagai Prashant Payal, 18 tahun, dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam sungai di Muara Tabuan, Rabu lalu.
Katanya, mangsa dilaporkan terjatuh ketika mandi di belakang sebuah bot.
Saksi di tempat kejadian memaklumkan mangsa tergelincir dan terjatuh ke dalam sungai sebelum hilang dibawa arus deras.
Operasi SAR telah masuk hari ketiga selepas diaktifkan sejak dari itu, namun mangsa belum ditemui.
"Tetapi saya hendak memaklumkan mayat ditemui hari ini bukan Prashant Payal. Selepas siasatan dan pengecaman, mayat itu adalah Muhammad Sanim, seorang warga Indonesia berusia 31 tahun," katanya.
Katanya, mangsa yang bekerja di Trade Logic Sdn Bhd dilapor hilang di Balai Polis Gita oleh majikannya susulan kehilangan pekerja tersebut pada 27 Jun lalu.
Jelas Ling Hii lagi, majikan Payal telah datang ke jeti untuk melakukan pengesahan mayat.
"Majikan itu telah mengesah ia bukan imayat Payal," katanya, sambil menambag operasi SAR bagi mengesan Payal akan disambung hari ini.
#lemas
;