Lelaki hina tokoh agama di Facebook dihadap ke mahkamah
Nur Fazlizai Ali
Jun 10, 2021 17:06 MYT
Jun 10, 2021 17:06 MYT
KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan menghina beberapa tokoh agama dan pemimpin negara menerusi video di Facebook.
Ahmad Farhan Mohd, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Nooriah Osman.
Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa secara sedar menggunakan kemudahan rangkaian Facebook untuk membuat hantaran komen kepada kumpulan Facebook Gabungan Anak Terengganu dengan niat untuk menyakitkan hati dan menganggu.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sekitar kawasan Bandaraya Kuala Terengganu pada jam 5 petang, pada 20 November 2020.
Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998, memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 12 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Selain itu mahkamah turut menetapkan syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di Balai Polis Gong Badak setiap bulan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Media sebelum ini melaporkan tindakan seorang lelaki membuat kenyataan jelek dan menghina beberapa tokoh agama serta pemimpin negara menerusi video di Facebook berakhir apabila ditahan polis.
#hina agamawan
#Kuala Terengganu
#Mahkamah Sesyen
#hina tokoh agama
#mengaku tidak bersalah
#Facebook
#kumpulan gabungan anak terengganu