Lelaki hina polis dalam Facebook direman empat hari
Abd Hadi Che Awang
Oktober 13, 2020 13:18 MYT
Oktober 13, 2020 13:18 MYT
SUNGAI PETANI: Seorang lelaki berusia 44 tahun direman selama empat hari selepas didakwa mengeluarkan kata-kata jelik dan memfitnah empat anggota trafik yang sedang menjalankan tugasan di laman media sosial Facebook pada Isnin.
Perintah reman terhadap penganggur berkenaan dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Sungai Petani, Mohammad Alif Abdul Aziz bermula hari ini sehingga 14 Oktober bagi membantu siasatan pihak polis polis.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superitenden Shamsudin Mamat menjelaskan, lelaki itu ditahan selepas polis menerima satu laporan yang dibuat di Balai Polis Sungai Petani semalam berhubung satu hantaran melalui media sosial Facebook pada Isnin.
Dalam hantaran Facebook itu, pemilik akaun berkenaan memuat naik status bergambar empat anggota polis trafik sedang bertugas.
Bagaimanapun, pemilik akaun itu kemudian membalas komen pada status berkenaan dalam Bahasa Mandarin diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris yang berunsur jelik dan menimbulkan fitnah terhadap empat anggota berkenaan.
Menurutnya, empat anggota trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda yang dimaksudkan adalah sebahagian daripada penugasan Snap Check bagi Op COVID-19.
Keempat-empat mereka ketika kejadian sedang melakukan tugasan di Jalan Hospital Pakar Metro, Taman Berangan, Sungai Petani pada 12 Oktober.
Tambah beliau, pihaknya mendapati pemilik akaun FB berkenaan dilihat sengaja melontarkan hinaan melalui ruangan komen dengan niat mencemarkan imej pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Jelasnya, pihaknya turut dirampas sebuah unit telefon bimbit jenama Oppo F9 yang dipercayai digunakan untuk tujuan itu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998.