Lelaki hilang selepas dipercayai terjatuh dari Jambatan Sungai Besut

Astro Awani
Februari 2, 2022 20:03 MYT
Pihak penyelamat sedang melakukan pencarian dengan radius kira-kira dua puluh meter di sekitar lokasi terakhir mangsa dilihat. - Foto Astro AWANI
BESUT: Seorang lelaki dikhuatiri hilang selepas dikatakan terjatuh dari Jambatan Sungai Besut dekat Jerteh pada Rabu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jertih, Muhammad Tarmimi Che Musa berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.30 petang tadi dan sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian.
Menurut Muhammad Tarmimi berdasarkan maklumat awal, ketika melalui jambatan itu saksi melihat mangsa yang memakai baju berwarna kelabu dan berkain sarung berada di jambatan tersebut.
Ketika melepasi jambatan itu, saksi tidak lagi melihat kelibat mangsa melalui cermin sisi kenderaan dan mengesyaki mangsa telah terjun dari jambatan, dia kemudiannya segera bertindak menghubungi pihak polis.
Muhammad Tarmimi berkata ketika ini pihak penyelamat sedang melakukan pencarian dengan radius kira-kira dua puluh meter di sekitar lokasi terakhir mangsa dilihat.
Bagaimanapun identiti sebenar mangsa yang terlibat masih belum dapat disahkan dan pencarian masih berjalan.
Katanya operasi itu melibatkan seramai 35 anggota dan pegawai dari pelbagai agensi termasuk polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) .
#Jambatan Sungai Besut #terjun jambatan #Balai Bomba dan Penyelamat #dikhuatiri hilang
;