Lelaki hilang lebih tiga minggu selamat kembali ke pangkuan keluarga

Nazialita Geynna Maharan
Ogos 10, 2016 08:11 MYT
Zainal Abidin Hussin, 64, yang dilaporkan hilang sejak bulan lepas dikatakan dalam keadaan selamat namun keadaannya masih lemah dan tidak bermaya. - Gambar ihsan keluarga
Setelah tiga minggu hilang tanpa berita, misteri kehilangan seorang warga emas sejak 19 Julai lepas akhirnya terjawab apabila dia dilaporkan telah pulang ke rumah pada malam Isnin.
Perkara itu disahkan Ketua Kampung Sauk, di sini Mohamed Zaki Jidin yang memaklumkan polis memberitahunya bahawa lelaki tersebut selamat pulang ke rumahnya.
Zainal Abidin Hussin, 64, yang dilaporkan hilang sejak bulan lepas dikatakan dalam keadaan selamat namun keadaannya masih lemah dan tidak bermaya.
Menurutnya, sebagai Ketua Kampung beliau berasa amat lega apabila mendapat berita kepulangan Zainal Abidin namun cerita bagaimana dia dijumpai masih belum diketahui.
"Ada saya dengar pelbagai cerita mengatakan jumpa dia di lokasi situ dan sini namun tiada maklumat yang betul-betul sahih lagi jadi saya tidak berani mengatakan di mana dan bagaimana dia dijumpai. Cukuplah sekadar saya mengesahkan bahawa dia sudah pulang ke rumah.
"Saya lega Zainal pulang ke rumah dalam keadaan selamat. Akhirnya, telahan saya mengatakan dia masih selamat sebelum ini terbukti benar," katanya kepada pemberita pada Selasa.
Dalam pada itu, dia meminta penduduk kampung memahami situasi keluarga warga emas itu dan tidak menekan mereka dengan menyebarkan pelbagai spekulasi liar.
Menurutnya, buat masa ini mereka perlu dibiarkan bersendirian bagi membolehkan Zainal Abidin dan keluarganya berehat selepas beberapa minggu melakukan pencarian.
"Saya ada ronda di sekitar kawasan rumah mereka dan saya lihat pintu bertutup. Mungkin mereka sedang berehat di dalam rumah."Pada saya eloklah begitu. Biarkan mereka berehat, biarkan Zainal berehat kerana dia hilang agak lama jadi sudah semestinya dia berasa terlalu penat.
"Saya harap penduduk kampung memberi ruang dan masa untuk mereka. Bila keadaan sudah baik, pasti mereka akan keluar bertemu penduduk kampung," ujarnya lagi.
Zainal Abidin dilaporkan hilang pada 19 Julai lepas ketika dia pergi ke kawasan hutan untuk menutup kandang kambingnya yang terletak di situ.
Sebaik menyedari kehilangannya, penduduk kampung dan agensi keselamatan melakukan pencarian namun tidak menjumpai sebarang petunjuk dan terpaksa menghentikan operasi tidak lama kemudian.
#ditemui selamat #Kuala Kangsar #lelaki hilang #misteri kehilangan #Sauk #Zainal Abidin Hussin
;