Lelaki hilang ketika menjala ikan ditemui lemas
Aida Aziz
Mei 3, 2022 18:12 MYT
Mei 3, 2022 18:12 MYT
BATU KURAU: Seorang lelaki yang hilang ketika menjala ikan bersama keluarganya di Sungai Batu 20 di Jalan Pekan Batu 20 di sini, ditemukan lemas pada Selasa.
Mohd Kamaruddin Chek May, 49, dari Kampung Pondok Quin, Batu 13, Batu Kurau ditemukan pada kedalaman kira-kira 4.6 meter oleh orang awam pada jam 3.08 petang.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, terdahulu pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 12.10 tengah hari.
"Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Kurau dengan bantuan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Kuala Kangsar kemudiannya bergegas ke lokasi kejadian.
"Mangsa telah dijumpai oleh orang awam pada jam 3.08 petang pada kedalaman 15 kaki (4.6 meter)," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Ujarnya lagi, mangsa disahkan maut oleh pegawai perubatan dan seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Operasi yang diketuai oleh PBK I Mohammad Hisham Osman itu tamat pada jam 4.20 petang.