Lelaki hilang ketika menjala ditemui mati dipercayai diserang buaya
Astro Awani
Mac 7, 2021 16:23 MYT
Mac 7, 2021 16:23 MYT
MUKAH: Seorang lelaki yang hilang ketika menjala udang di Kampung Kuala Oya di sini semalam ditemui mati dengan kesan serangan binatang buas dipercayai buaya.
Ketua Polis Daerah Dalat, DSP Saga Chuggat berkata, mayat mangsa ditemui penduduk Kampung Senau, sekitar jam 5.00 pagi tadi ketika dia memeriksa perahu di jeti kampung.
"Mayat mangsa ditemui lengkap namun terdapat kesan kecederaan yang sinonim serangan haiwan buas pada bahu, telinga dan kaki," katanya ketika dihubungi hari ini.
Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Dalat untuk prosedur bedah siasat.
Terdahulu, mangsa yang dikenali sebagai Alibaba Dahri, 52 tahun dikhuatiri hilang ketika menjala udang pada jam 1 pagi Sabtu.
Laporan dibuat oleh adik mangsa di Balai Polis Oya sekitar jam 4 pagi, setelah penduduk kampung menemui bot mangsa yang hampir tenggelam.
Polis kemudian memanjangkan perkara tersebut kepada Balai Bomba dan Penyelamat Mukah sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan.
Ini kejadian keempat serangan binatang buas dipercayai buaya berlaku di Batang Oya, dan yang pertama pada tahun ini.
Pasukan SAR semalam mengesan sekurang-kurangnya empat kali reptilia itu muncul di permukaan sungai ketika operasi dilakukan.
Kata Saga lagi, pihaknya telah memanjangkan laporan tersebut kepada pihak Sarawak Forestry Corporation (SFC) untuk tindakan lanjut.