Lelaki hilang ketika memukat ikan ditemukan lemas
Adie Sufian Zulkefli
November 4, 2021 11:16 MYT
November 4, 2021 11:16 MYT
KUBANG PASU: Seorang lelaki yang hilang sejak semalam ditemukan lemas dalam kejadian di Kampung Seluang, di sini, hari ini.
Mangsa, Omar Ismail, 22, sebelum ini dilaporkan hilang selepas terjatuh ketika memukat ikan di kawasan sawah yang dilimpahi air banjir.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain, jasad mangsa ditemukan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) pada kedalaman 1 meter pada jam 9.20 pagi tadi.
Beliau berkata, jasad mangsa ditemui ketika anggota PPDA melakukan pencarian di sekitar kawasan mangsa dilaporkan terjatuh.
"Mangsa ditemui kira-kira tiga meter dari lokasi dia terjatuh dalam keadaan tertiarap di dasar.
“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Pusat Kawalan Bomba (PKB) Kampung Kubu," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Mohamadul Ehsan berkata, operasi disertai sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra dan pasukan PPDA dari BBP Jitra dan Sungai Petani.
Beliau berkata, mangsa diserahkan kepada polis dan dihantar ke Hospital Jitra untuk tindakan lanjut.
Operasi turut disertai anggota dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Dalam kejadian jam 3 petang semalam, mangsa dikatakan bersama bapa mentuanya memukat ikan di lokasi kejadian sebelum terjatuh dan dihanyutkan arus menghala ke kawasan sawah bersebelahan sungai.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dilakukan sejurus JBPM menerima panggilan berhubung kejadian.