Lelaki hilang ketika memukat ikan di Sungai Tajar ditemui lemas

Adie Sufian Zulkefli
Disember 9, 2024 17:31 MYT
Mayat Mohd Fauzi Omar, 33, ditemukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dalam keadaan terapung pada jam 2.50 petang tadi.
ALOR SETAR: Lelaki yang hilang dihanyutkan arus ketika memukat ikan di Sungai Tajar di sini, semalam ditemui lemas hari ini.
Mayat Mohd Fauzi Omar, 33, ditemukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dalam keadaan terapung pada jam 2.50 petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar, Timbalan Penguasa Bomba II Ahmad Naufal Abdullah berkata, mayat mangsa ditemui kira-kira 100 meter dari lokasi dia hilang.
“Mayat ditemukan terapung dan pasukan SAR mengangkat mayat ke dalam bot sebelum dibawa ke darat. Mayat mangsa kemudian diserah kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.
Dalam kejadian semalam, Mohd Fauzi dihanyutkan arus deras ketika memukat ikan di Sungai Tajar.
Mangsa pergi ke sungai itu bersama dua rakan, namun mereka tidak dapat menyelamatkannya disebabkan tidak mahir berenang.
#kes lemas #sungai tajar #arus deras #mayat
;