Lelaki hilang ketika memancing di tali air, ditemui tersangkut di jambatan

Aida Aziz
November 14, 2023 12:40 MYT
Mohd Asrul Aafendy Shazali ditemukan pada radius 2.3 kilometer dari lokasi terakhir mangsa, pada jam 10.57 pagi. - Foto JBPM Perak
KAMPUNG GAJAH: Lelaki yang dikhuatiri lemas selepas memancing di tali air dekat Jalan Kuala Parit Kampung Pasir Jenderis, di sini semalam, ditemukan maut tersangkut di jambatan oleh orang awam pagi ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata, Mohd Asrul Aafendy Shazali, 36, ditemukan pada radius 2.3 kilometer dari lokasi terakhir mangsa, pada jam 10.57 pagi.
"Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) membuat selaman sedalam 2 meter di 'hotspot' mangsa dipercayai hilang.
"Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampung Gajah melaporkan mangsa dijumpai oleh orang awam pada radius 2.3 kilometer, mangsa tersangkut di jambatan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Jelasnya lagi, mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan selanjutnya.
Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas hilang ketika memancing di tali air, di sini.
Sabarodzi berkata, motosikal dan peralatan memancing milik mangsa masih berada di lokasi berkenaan.
Beliau berkata, seramai 47 orang dari pelbagai agensi terbabit dalam operasi pencarian tersebut, iaitu bomba (7), PPDA (3), polis (7), Angkatan Pertahanan Awam (5), RELA (15) dan orang awam (10).
Selain itu, bagi kekuatan logisitik, terdapat enam buah bot digunakan iaitu satu bot bomba, satu bot polis dan empat lagi milik orang awam.
#lemas #Tali air #Memancing #JBPM
;