Lelaki hilang ketika keluar pasang pukat ditemukan lemas

Bernama
Mei 25, 2024 20:27 MYT
Mayat Nicholas Daniel, 38, ditemukan di kawasan tujuh kilometer dari perahunya yang dijumpai pada hari dia dilaporkan hilang. - Gambar hiasan
BINTULU: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika keluar memasang pukat ikan di kawasan Sungai Annau, Tatau, kira-kira 80 kilometer dari sini Rabu lepas ditemukan lemas hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata berdasarkan maklumat daripada anak saudara mangsa, mayat Nicholas Daniel, 38, ditemukan di kawasan tujuh kilometer dari perahunya yang dijumpai pada hari dia dilaporkan hilang.
"Mayat ditemukan pada 1.41 tengah hari dan dalam keadaan tidak sempurna. Mayat kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan seterusnya," katanya dalam kenyataan.
Jurucakap itu berkata berdasarkan laporan polis pada 6.07 petang Khamis lepas, mangsa telah keluar dari rumah untuk memasang pukat ikan di Sungai Annau, dengan menaiki perahu lebih kurang 5 petang Rabu.
Seorang saksi pada hari sama telah menemukan perahu dinaiki mangsa, namun tidak menjumpai mangsa di dalam perahu terbabit.
Mangsa kali terakhir dilihat memakai baju warna kelabu dan seluar pendek warna merah.
Berikutan penemuan itu operasi mencari dan menyelamat ditamatkan pada 2.30 petang.
-- BERNAMA
#pasang pukat #lelaki hilang #lemas #bomba #Tatau
;