Lelaki hilang ketika daki Gunung Pulai bersendirian
Bernama
Disember 19, 2022 16:17 MYT
Disember 19, 2022 16:17 MYT
JOHOR BAHRU: Seorang lelaki dilaporkan hilang selepas dipercayai sesat ketika melakukan aktiviti mendaki secara bersendirian di Gunung Pulai berhampiran Pulai Hijauan Skudai di sini, semalam.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Khairi Zainuddin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 8.53 malam sebelum sembilan anggota digerakkan ke lokasi kejadian.
Beliau berkata mangsa, Lee Chin Chai, 56, melakukan pendakian seorang diri pada 7 pagi semalam selepas dibantu rakannya mengenai petunjuk arah dan dilaporkan menggunakan jalan pintas untuk ke puncak gunung berkenaan.
"Bagaimanapun, pada 7 malam, kakak mangsa yang khuatir tentangnya sempat menghubungi rakan-rakannya menerusi aplikasi WhatsApp dan menghantar gambar bagi mendapatkan maklumat mengenai adiknya.
"Mangsa telah menghubungi kakaknya pada 8 malam dan menyatakan bahawa dia tersesat semasa dalam perjalanan pulang serta sempat memberikan lokasi terakhirnya melalui aplikasi WhatsApp, selain memaklumkan telefon bimbitnya hampir kehabisan bateri," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Khairi berkata kakaknya turut menerima maklumat bahawa pasukan pendaki yang lain sempat melihat Lee di puncak gunung tersebut pada 10 pagi semalam.
Beliau berkata Pasukan Keluaran Operasi (PKO) bersama agensi terlibat termasuk Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan Syarikat Air Johor (SAJ) melakukan pencarian di darat dengan menggunakan teknik 'jungle trekking' ke lokasi terakhir mangsa dihubungi, pada 9.30 malam tadi.
"Setelah tiba, mangsa didapati tiada di lokasi terbabit, namun pihak ATM bertindak melepaskan tiga das tembakan bagi menarik perhatian mangsa.
"Pihak SAJ membuat pencarian di kawasan tasik menggunakan bot pada jarak 15 kilometer dari kawasan mangsa dipercayai hilang, namun masih belum dapat dikesan," katanya.
Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan dengan PKO dan semua agensi terlibat berkumpul semula pada 5 pagi tadi dan bertindak membuat pencarian di kawasan sekitar Ulu Choh.
-- BERNAMA