Lelaki hilang ketika berkelah ditemui lemas di Lata Bayu
Adie Sufian Zulkefli
Mei 13, 2024 15:00 MYT
Mei 13, 2024 15:00 MYT
BALING: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika berkelah bersama tiga rakannya di Lata Bayu, Asam Jawa, di sini ditemukan lemas.
Mayat mangsa, Muhammad Luqman Zuraidi, 27, berasal dari Kampung Bakong Asam Jawa Mukim Pulai, ditemui di dasar sungai, jam 11 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, polis menerima laporan daripada bapa mangsa pada jam 8 malam tadi.
“Bapa mangsa memaklumkan, mangsa memberitahu rakannya dia ingin pergi mencari cacing untuk memancing ketika berkelah.
“Namun mangsa tidak kembali ke tempat mereka berkelah dan tiga rakan mangsa yang lain bertindak mencari namun gagal dan terus ke rumah mangsa memaklumkan kejadian kepada bapanya," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Jelas Shamsudin, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan jam 7 pagi tadi oleh anggota bomba, polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dengan dibantu penduduk kampung.
Katanya, mayat mangsa ditemui tidak jauh dari kawasan dilaporkan hilang jam 11 pagi.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kulim untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.