Lelaki hilang ditemui maut di tepi sungai
Aida Aziz
Oktober 25, 2023 11:15 MYT
Oktober 25, 2023 11:15 MYT
LENGGONG: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang sejak semalam, telah ditemukan meninggal dunia oleh orang awam di tepi sungai dekat Kampung Bukit Sapi, di sini hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mangsa berusia 27 tahun itu dikenali sebagai Saiful Azhar.
Katanya, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 8.35 pagi tadi sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lenggong ke lokasi.
"Pihak bomba terima maklumat dari polis mengatakan ada seorang mangsa lelaki disyaki hilang sejak Selasa.
"Bomba melakukan operasi pencarian mangsa hari ini dan ketika ia dilaksanakan kami terima maklumat bahawa mangsa dijumpai orang awam di tepi sungai," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau menambah, mangsa yang meninggal dunia kemudiannya diserahkan kepada polis bagi tindakan selanjutnya.
Operasi yang diketuai PPgB Farizul Anuar Razali itu tamat jam 9.50 pagi.