Lelaki hilang ditemui mati tergantung pada pokok

Bernama
Jun 21, 2019 06:41 MYT
Polis masih menjalankan siasatan lanjut sama ada ia membabitkan kejadian jenayah atau sebaliknya. - Gambar hiasan
Kehilangan seorang lelaki warga tempatan sejak empat hari lalu terjawab apabila mayatnya ditemui tergantung pada pokok di kawasan semak berdekatan kebun kelapa sawit di Batu 8, Bukit Pasir, di sini, pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Muar, ACP Zaharudin Rasip berkata, polis menerima maklumat daripada seorang lelaki pada jam 1.05 tengah hari mengenai penemuan mayat seorang lelaki yang tergantung pada pokok dalam keadaan berpakaian lengkap di sebelah motosikal mangsa.
"Mayat tersebut telah dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah untuk bedah siasat dan anak lelaki semati telah membuat pengecaman bahawa mayat tersebut adalah bapanya L. Rajendran, 46, yang dilaporkan hilang pada 17 Jun 2019," katanya ketika dihubungi Bernama malam tadi.
Beliau berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut sama ada ia membabitkan kejadian jenayah atau sebaliknya.
Bernama sebelum ini melaporkan polis mencari seorang lelaki yang hilang setelah keluar dari rumah sejak 17 Jun lalu dengan menaiki motosikal miliknya.
-- BERNAMA
#Bukit Pasir #Hospital Pakar Sultanah Fatimah #kebun kelapa sawit #L Rajendran #lelaki hilang #Muar #Polis Daerah Muar #tergantung pada pokok #Zaharudin Rasip
;