Lelaki hilang disambar buaya ketika seberang sungai
Radhi Muslim
September 9, 2022 07:15 MYT
September 9, 2022 07:15 MYT
SANDAKAN: Seorang lelaki dilaporkan hilang dipercayai disambar buaya ketika menyeberangi sungai berhampiran Taman Kenari Batu 7, di sini, pada Jumaat.
Ketika kejadian, mangsa berusia 50 tahun itu dikatakan cuba untuk menyeberang dengan menggunakan rakit di sungai berkenaan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 8.57 malam.
Katanya, seramai lapan anggota termasuk pegawai bersama jentera dan EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan bergegas ke lokasi kejadian untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).
"Menurut saksi, mangsa yang cuba untuk menyeberang sungai menggunakan rakit telah disambar buaya.
"Operasi SAR dijalankan sepanjang sungai di kawasan mangsa dilaporkan dibaham buaya namun mangsa belum ditemui," katanya dalam kenyataan media, pada Jumaat.
Menurutnya, operasi SAR ditangguh pada 10.28 malam dan disambung semula pada Sabtu.
"Operasi SAR akan disambung semula pada jam 6 pagi esok. Maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa," katanya.