Lelaki hilang disambar buaya ketika memancing
Sinar Harian
September 23, 2023 13:58 MYT
September 23, 2023 13:58 MYT
KOTA BELUD: Seorang lelaki yang sedang memancing hilang selepas disambar buaya dalam kejadian di jeti Mantanani di sini pada Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira 10.30 malam, Yusri Dulpi, 20, bersama rakannya memancing di jeti berkenaan sebelum disambar reptilia terbabit.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud Muhammad Syazwan Latun berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 11.26 malam.Menurutnya, sepasukan anggota bomba segera ke lokasi dengan yang terletak sejauh 25 kilometer dari BBP Kota Belud.
"Menurut saksi yang juga rakan mangsa, mereka sedang melakukan aktiviti memancing di jeti berkenaan pada waktu malam bagaimanapun mangsa tiba-tiba disambar buaya.
"Tindakan pasukan bomba selepas mendapatkan maklumat mangsa, seterusnya menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan jeti berkenaan. Namun mangsa masih tidak ditemui," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.
Beliau berkata, operasi kemudian disambung semula bersama agensi penyelamat yang lain pada jam 6.58 pagi Sabtu.
"Operasi SAR yang memasuki hari kedua dimulakan pada radius pencarian satu kilometer dengan menyusuri tebing sungai menggunakan bot.
"Maklumat akan dikemas kini dari masa ke masa," katanya.
Sebelum itu, antara agensi yang terlibat dalam SAR ini ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Hidup Liar (JHL).
*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian