Lelaki hilang dikhuatiri dibaham buaya ketika memukat ikan

Ridzal Abdullah
September 5, 2024 08:45 MYT
Operasi mencari mangsa telah dimulakan hari ini diketuai oleh Pegawai Bomba, Ahmad Pramuja Zainadun. - Gambar hiasan
KINABATANGAN: Seorang lelaki dilaporkan hilang dikhuatiri dibaham buaya di kawasan sungai dekat Ladang Tong Hup Kinabatangan, semalam.
Menurut kenyataan media Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sabah, pihak mereka menerima panggilan pada pagi Khamis.
Bilik kawalan Balai Bomba Kinabatangan menerima laporan seorang lelaki telah hilang semasa menjalankan aktiviti memukat ikan di sungai pada tengah hari Rabu.
Menurut maklumat awal pengadu, mangsa telah turun ke sungai sekitar 12.30 tengah hari untuk mengambil hasil ikan namun tidak kembali sehingga waktu petang.
Difahamkan beberapa rakan sekerja mangsa telah berusaha mencari di sekitar sungai namun gagal menjumpai mangsa dan hanya menemui sebuah motosikal, baju, topi, kasut serta pukat ikan yang telah koyak berkemungkinan akibat disambar buaya.
Mangsa dikenal pasti sebagai Bruno Kamil Js Nahak berusia 25 tahun.
Operasi mencari mangsa telah dimulakan hari ini diketuai oleh Pegawai Bomba, Ahmad Pramuja Zainadun.
#dibaham buaya #memukat ikan #Ladang Tong Hup #operasi mencari dan menyelamat
;