Lelaki hilang di Tok Bali ditemukan selamat

Bernama
Januari 13, 2022 11:40 MYT
Seramai 44 anggota penyelamat terdiri daripada pelbagai agensi melancarkan operasi mengesan Ahmad Zul Mukriz yang dilaporkan hilang di hutan gelam Tok Bali, Pasir Puteh, Isnin lepas. - Gambar fail BERNAMA
PASIR PUTEH: Seorang lelaki berusia 22 tahun yang hilang sejak Isnin lepas ditemukan selamat oleh penduduk kampung di kawasan paya berdekatan perkampungan nelayan Tok Bali di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh DSP Ediansha Endal berkata mangsa Ahmad Zul Mukhriz Zakaria, dijumpai oleh penduduk kampung setelah mendengar suara meminta tolong pada 8.15 malam dan menemui mangsa sedang berpaut pada sebatang pokok dalam keadaan tidak berpakaian.
"Mangsa ketika dijumpai berada dalam keadaan lemah dan terdapat kesan calar di beberapa bahagian badan sebelum dibawa ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh untuk rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau juga berkata operasi mencari dan menyelamat mangsa dibantu oleh 44 anggota dan pegawai termasuk daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Rela serta penduduk kampung.
Sebelum ini, media melaporkan mangsa hilang tanpa jejak selepas melarikan diri ke dalam hutan berhampiran perkampungan nelayan di Tok Bali, di sini sejak 10 Jan lepas, gara-gara terkejut melihat kereta peronda polis.
-- BERNAMA
#Ahmad Zul Mukhriz Zakaria #hilang #perkampungan nelayan Tok Bali #Pasir Puteh
;