Lelaki hanyut di Sungai Pisang ditemukan lemas

Afiezy Azaman
Februari 14, 2023 12:30 MYT
Mangsa yang dihanyutkan arus deras di Batu 12, Sungai Pisang, Gombak, dijumpai pada jam 10.34 pagi ini. - Foto JBPM Selangor
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang hilang selepas dihanyutkan arus deras di Batu 12, Sungai Pisang, Gombak, pada Isnin, ditemukan lemas hari ini.
Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Datuk Norazam Khamis, mangsa dijumpai di kunci air Sungai Kerdas pada anggaran jarak 10 kilometer dari tempat dia mandi bersama rakannya.
"Mangsa yang hanyut di Selayang telah dijumpai pada jam 10.34 pagi," katanya ringkas dalam satu kenyataan hari ini.
Pada Isnin, Astro AWANI melaporkan seorang lelaki dikhuatiri lemas ketika mandi manakala rakannya terselamat di Batu 12, Sungai Pisang.
Kedua-duanya berusia lingkungan 20 tahun.
JBPM menerima panggilan kecemasan pada 6.57 petang sebelum menggerakkan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Selayang yang tiba di lokasi kejadian pada 7.30 malam.
BACA: Operasi SAR kesan lelaki dikhuatiri lemas di Sungai Pisang diperluas lapan km
Terdahulu hari ini, Norazam berkata, operasi pagi ini memfokuskan pencarian ke tempat takungan air berkumpul dari lokasi kejadian.
#Sungai Pisang #kunci air Sungai Kerdas #Norazam Khamis
;