Lelaki guna nombor plat 'sayang awok' ditahan
Sinar Harian
April 30, 2023 16:28 MYT
April 30, 2023 16:28 MYT
KUANTAN: Seorang penunggang motosikal ditahan kerana menggunakan nombor pendaftaran mengelirukan di Jalan Pintasan Kuantan-Pelabuhan pada awal pagi Ahad.
Lelaki berusia 25 tahun yang menetap di Permatang Badak itu ditahan kerana menggunakan nombor pendaftaran 'sayang awok' pada motosikal ditunggangnya.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintenden Kamarulzaman Jusoh@Mohamad Daud berkata, suspek antara yang ditahan dalam Op Samseng Jalanan dijalankan Bahagian Siasatan dan Pencegahan Trafik (BSPT) daerah Kuantan antara jam 1 hingga 5 pagi Ahad.
Menurutnya, operasi itu dilakukan oleh seorang pegawai bersama tujuh anggota dari BSPT daerah Kuantan.
"Suspek disiasat mengikut Seksyen 108 (3)(e) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atau Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1955.
"Kita pun 'sayang awok jugok' dan ibu bapa atau penjaga mohon pantau anak-anak agar tidak terlibat dengan aktiviti yang tidak sihat seperti merempit," katanya pada Ahad.
Tambah Kamarulzaman, dua lagi individu yang masing-masing berusia 22 tahun turut ditahan dalam operasi itu.
"Kedua-dua suspek melakukan aksi mengangkat tayar hadapan (wheelie) di jalan Tanah Putih dekat Lembaga Hasil Dalam Negeri.
"Kesemua suspek dibawa ke balai polis trafik Kuantan untuk siasatan lanjut," katanya.
Beliau berkata, sebanyak 66 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan sepanjang operasi tersebut.
Katanya, kesalahan membabitkan nombor pendaftaran kenderaan antara paling tinggi iaitu sebanyak 19 notis.
"Kesalahan lain yang dikesan seperti cermin sisi sebanyak 14 notis, ubah suai kenderaan (12), ekzos (8), lesen pula empat dan sebagainya," katanya. - Sinar Harian