Lelaki gaduh guna senjata tajam ditahan
Bernama
Februari 12, 2025 10:00 MYT
Februari 12, 2025 10:00 MYT
Raub berkata, siasatan awal mendapati mangsa, lelaki 43 tahun yang tidak bekerja, ditetak di kepala oleh suspek, lelaki 45 tahun yang bekerja sebagai tukang besi.
JOHOR BAHRU: Polis menahan seorang lelaki yang terlibat dalam insiden tular pergaduhan bersenjata di kawasan Merlin Tower, Jalan Meldrum di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Raub Selamat berkata, satu panggilan kecemasan MERS 999 diterima pada pukul 2.29 petang daripada orang awam yang melaporkan kejadian pergaduhan melibatkan dua individu.
Raub berkata, siasatan awal mendapati mangsa, lelaki 43 tahun yang tidak bekerja, ditetak di kepala oleh suspek, lelaki 45 tahun yang bekerja sebagai tukang besi.
"Siasatan lanjut mendapati punca kejadian disyaki alibat pergaduhan mulut antara kedua-dua lelaki itu yang berada dalam keadaan mabuk.
"Mangsa telah dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini kerana mengalami kecederaan parah dan kini berada di wad untuk rawatan lanjut. Sementara suspek telah ditahan dilokasi kejadian bersama rampasan sebilah pisau pemotong daging," katanya dalam kenyataan lewat malam tadi.
Beliau berkata, semakan rekod jenayah mendapati suspek mempunyai lapan rekod lampau berkait kesalahan jenayah dan penyalahgunaan dadah, manakala mangsa mempunyai empat rekod lampau pelbagai kesalahan jenayah dan penyalahgunaan dadah.
Katanya lagi, hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Methapetamine.
"Suspek yang ditahan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru untuk permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah," katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan menyebabkan cedera parah dengan senjata dan Seksyen 15(a) Akta Dadah Berbahaya kerana memasukkan dadah ke dalam badan.
Semalam, tular di laman sosial Facebook memaparkan gambar seorang lelaki terbaring dan terdapat sebilah pisau pemotong daging di kawasan kejadian. - BERNAMA