Lelaki Finland sesat ketika daki Bukit Saga bersendirian

Sinar Harian
Mei 15, 2022 06:32 MYT
Pendakian ke lokasi dijalankan oleh anggota dari BBP Pandan Indah dan mangsa ditemui selamat pada jam 12.50 tengah hari. - Foto Sinar Harian
AMPANG: Seorang lelaki warga Finland berusia 43 tahun tersesat ketika mendaki Bukit Saga secara bersendirian pada Ahad.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, laporan berhubung kejadian itu diterima pada jam 11.25 pagi sebelum sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pandan Indah dikejarkan ke lokasi kejadian.
Menurutnya, mangsa dapat dikesan melalui panggilan telefon dan tidak mengalami sebarang kecederaan sebelum gerakan pencarian ke atasnya dilakukan.
"Komander operasi telah menghubungi mangsa dan mendapati lelaki tersebut berada berhampiran 'check point' tiga.
"Pendakian ke lokasi dijalankan dan mangsa ditemui dalam keadaan selamat pada jam 12.50 tengah hari," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, mangsa berjaya dibawa turun pada jam 1.42 petang dan kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.
#warga asing #lelaki Finland #sesat #mendaki Bukit Saga
;