Lelaki dituduh miliki 106 butir peluru

Dewi Nur Harasha Alias
Mac 26, 2021 08:33 MYT
Tertuduh A. Santeran bagaimanapun, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rosnee Mohd Radzuan. - Gambar Astro AWANI
GEORGE TOWN: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret George Town hari ini atas pertuduhan memiliki 106 butir peluru pelbagai jenis ketika ditahan polis dalam pemeriksaan di kawasan tepi pantai di Batu Ferringhi, 12 Mac lepas.
Tertuduh A. Santeran, 54, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rosnee Mohd Radzuan.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu dituduh memiliki 53 butir peluru 9mm, 48 butir peluru 9x9 Bigs, tiga butir peluru 9mm Luger dan dua butir peluru Thai Arms 10 tanpa lesen atau kebenaran sah daripada mana-mana pihak.
Dia dituduh memiliki semua peluru itu sewaktu pemeriksaan di kawasan tepi pantai Batu Ferringhi pada jam 6.30 petang 12 Mac lepas.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjat Api 1960, sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau dikenakan denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Azlin Zeti Zainal Abidin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh memandangkan dia turut mempunyai kes lain di Mahkamah Sesyen dan menetapkan 27 April depan untuk sebutan semula kes.
#106 butir peluru #mahkamah #penjara #lelaki