Lelaki dituduh lakukan jenayah seksual ketika 'merawat' pesakit

Vivi Sumanti
Januari 24, 2021 15:04 MYT
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, lelaki itu boleh dipenjara sehingga 30 tahun dan sebat. - Gambar Astro AWANI
KOTA BHARU: Seorang bomoh atau pengamal perubatan tradisional dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu di sini hari ini atas dakwaan melakukan jenayah seksual terhadap pesakitnya.
Tertuduh, Wan Ismail Wan Md Zain, 53, yang didakwa melakukan perbuatan berkenaan minggu lalu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan hubungan seksual terhadap seorang mangsa wanita berusia 28 tahun tanpa kerelaannya di sebuah bilik di sebuah taman perumahan di sini, jam 8.50 malam, pada 12 Januari lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, lelaki itu boleh dipenjara sehingga 30 tahun dan sebat.
Mahkamah kemudian menetapkan 23 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin kepada tertuduh.
Selain itu, mahkamah juga mengarahkan tertuduh melaporkan diri di balai polis setiap awal bulan serta tidak menganggu mangsa.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Faizuan Sulaiman dan tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Roshayati Hassan.
#bomoh #perubatan #tradisional #seksual #Kota Bharu #polis #mahkamah #jenayah #wanita #mangsa #Mahkamah Sesyen #Hukuman #penjara #sebat
;