Lelaki ditikam isteri hingga mati kerana disyaki curang

Radhi Muslim
Mei 26, 2019 18:27 MYT
Suspek berusia 26 tahun (gambar) ditahan bersama pisau yang digunakan untuk menikam perut suaminya. -Foto PDRM
Seorang wanita diberkas pada Jumaat selepas didakwa membunuh suaminya yang dipercayai curang dan suka mendera.
Dalam kejadian jam 7.20 pagi itu, suspek berusia 26 tahun ditahan bersama pisau yang digunakan untuk menikam perut suaminya yang berusia 32 tahun.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata ketika kejadian, mangsa sedang berehat dengan berbaring di bilik sewa mereka.
"Suspek kemudian mengambil pisau di dapur dan menikam sebelah kanan perut suaminya.
"Suaminya sempat mencabut pisau dan berlari ke klinik berdekatan.
"Polis bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima laporan dan berjaya menahan suspek yang tidak melarikan diri dari bilik berkenaan," katanya dalam satu kenyataan media pada Ahad.
Menurut Nasri, mangsa bagaimanapun meninggal dunia jam 5.05 pagi Sabtu di Hospital Lahad Datu.
"Siasatan lanjut mendapati, suspek merancang kejadian berkenaan kerana marah dengan suaminya yang suka mendera dan tidak memberikan nafkah.
"Mangsa juga dilaporkan curang sejak tahun 2014 dan isterinya hanya membiarkan kecurangan suaminya kerana risau keretakan rumah tangga mereka.
"Namun, Jumaat lalu, suspek gagal mengawal emosi lalu bertindak sedemikian," katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 kerana membunuh.
#ditikam isteri #Nasri Mansor #suami curang #suami ditikam
;