Lelaki ditetak hingga mati oleh 'kekasih gelap' ibu mertua

Ruzaini Zulkepli
Mac 9, 2018 15:36 MYT
Kata Mohd Izaan, suspek dikatakan melarikan diri dan usaha memburunya giat dijalankan.
Gara-gara dituduh mempunyai hubungan sulit dengan ibu mertuanya, seorang penoreh getah maut ditetak di bahagian muka, leher dan perut oleh 'kekasih gelap' wanita itu di sebuah rumah tidak bernombor berhampiran Kampung Longgom, Pitas, dekat sini, semalam.
Dalam kejadian jam 8.20 malam Khamis, mangsa yang berusia 30-an, ditemui terbaring dan berlumuran darah di bahagian dapur rumah berkenaan.
Difahamkan, sebelum insiden, mangsa berada di rumah itu bersama ibu mertuanya dan disyaki mabuk selepas meminum minuman keras.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu Superintendan Mohd Izaan Abdullah berkata, berdasarkan siasatan awal, kekasih gelap ibu mertua mangsa berang dengan berita mengenai hubungan sulit mereka kemudian datang ke rumah itu sebelum berlaku pertengkaran dengan mangsa.
"Ketika pertengkaran mangsa bertindak mengambil sebilah parang sebelum berjaya dirampas oleh suspek.
"Mangsa kemudiannya melarikan diri ke bahagian dapur sebelum tubuhnya ditemui terbaring dengan keadaan berlumuran darah disyaki ditetak oleh suspek," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Menurutnya, tubuh mangsa ditemui oleh jirannya dalam keadaan nyawa-nyawa ikan di bahagian dapur sebelum melaporkan kejadian itu kepada pihak polis.
Kata Mohd Izaan, suspek dikatakan melarikan diri dan usaha memburunya giat dijalankan.
Manakala mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Pitas untuk bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
#hubungan sulit #ibu mertua #Kampung Loggom #maut #Mohd Izaan Abdullah #penoreh getah #pitas #suspek #Tetak
;