Lelaki diterkam harimau belang semakin pulih
Muhafandi Muhamad
Julai 24, 2021 08:24 MYT
Julai 24, 2021 08:24 MYT
GUA MUSANG: Seorang lelaki Orang Asli menganggap seperti diberi nyawa kedua apabila terselamat selepas bergelut dengan seekor harimau belang betina di kebunnya di Kampung Badak, Pos Bihai, Gua Musang, Kelantan awal bulan ini.
Adin Andok, 48, berkata, peristiwa bergelut dan dicakar harimau belang pada jam 3 petang, 5 Julai itu masih segar dalam ingatannya selepas diselamatkan penduduk kampung.
Menurut Adin, dia terpaksa menetak harimau terbabit dengan parang di kepala, badan dan ekornya sebagai usaha menyelamatkan diri.
Katanya, dia sudah dibenarkan keluar dari Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai pada Selasa minggu lalu dan kini berada di Pusat Transit, Kuala Betis untuk menunggu rawatan susulan.
"Selepas dia kejar, dia terkam dan tumbangkan saya.
"Dia pijak kaki kiri saya dan tanamkan kukunya ke dalam dada saya.
"Ketika itu saya cuba melawan dengan golok tetapi harimau itu terlalu kuat," katanya.
Jelas Adin, dia juga semakin bersemangat untuk pulang ke kampungnya dan meneruskan aktiviti berkebun bagi menyara keluarganya.
Sementara itu, harimau betina yang diberi nama Syamilla Bihai, dilaporkan semakin pulih daripada kecederaan yang dialami haiwan berkenaan.
Memetik kenyataan Jabatan Perhilitan Semenanjung Malaysia, keadaan Syamilla Bihai pada masa kini sangat positif dan selera makan harimau itu sudah bertambah baik.
Keadaan haiwan itu dipantau rapi oleh doktor veterinar Jabatan Perhilitan serta kakitangan Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC), Sungkai, Perak bagi memastikan haiwan tersebut sembuh.
Pada 5 Julai lalu Adin Andok dalam perjalanan pulang ke rumah sebelum diserang seekor harimau belang.
Dalam kejadian itu Adin mengalami luka di bahagian lengan kanan dan kiri serta mata.