Lelaki ditemukan rentung, tujuh terselamat dalam kebakaran rumah
Aida Aziz
September 25, 2024 09:30 MYT
September 25, 2024 09:30 MYT
MANJUNG: Seorang lelaki ditemukan rentung, manakala tujuh lagi terselamat dalam kebakaran sebuah rumah di Taman Muhibbah 2, Sitiawan, di sini pada awal pagi Rabu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mangsa dikenali sebagai Muhammad Khairul Ridzuan Muhamad Taib, 46, ditemui rentung di bahagian ruang tamu rumah berkenaan.
Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.40 pagi dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan dan Seri Manjung tiba di lokasi 2.44 pagi.
"Kebakaran melibatkan sebuah rumah teres satu tingkat kelas A berukuran 20x50 persegi musnah terbakar 60 peratus.
"Terdapat seorang mangsa lelaki didapati rentung di bahagian ruang tamu rumah manakala tujuh lagi berjaya keluar serta terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Ketua operasi melaksanakan size up dan mengaplikasikan konsep RECEO.
"Seterusnya mengarahkan anggota membuat pemadaman menggunakan satu aliran hos 200 kaki 2 pancutan bersumberkan air dari tangki jentera dan pili bomba," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Tambahnya, BBP Manjung turut membantu kerja-kerja pemadaman menggunakan 1 aliran 100 kaki 1 pancutan bersumberkan air dari pili bomba.
Operasi tersebut membabitkan kekuatan anggota seramai 18 orang dan tamat sepenuhnya jam 5.16 pagi.