Lelaki ditemukan mati di dalam kereta

Bernama
September 1, 2017 16:35 MYT
Hasil bedah siasat yang dilakukan atas mayat pagi tadi mendapati tiada unsur khianat atau perlakuan jenayah terhadap lelaki itu. - Gambar hiasan
Seorang lelaki ditemukan mati di dalam sebuah kenderaan dipercayai miliknya di Mantin, Nilai, semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Nilai Deputi Supt Mohd Faisal Mohd Nor berkata lelaki yang berusia lingkungan 39 tahun itu ditemukan seorang pengawal keselamatan yang melakukan rondaan di pencawang telekomunikasi pada 6.45 petang di Jalan Bukit Mantin, di sini.
"Pengawal keselamatan itu telah bertindak mengetuk pintu kereta jenis Toyota Camry beberapa kali namun lelaki tersebut tidak memberi respon sebelum menghubungi polis.
"Lelaki itu bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan dari Klinik Kesihatan Mantin.
"Hasil pemeriksaan luaran kereta berkenaan mendapati terdapat satu hos mesin basuh warna putih sepanjang 2.02 meter disambungkan dari ekzos kereta terus ke tempat duduk belakang melalui bonet kereta," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Mohd Faisal berkata hasil bedah siasat yang dilakukan pagi tadi di Hospital Tuanku Jaafar Seremban mendapati tiada unsur khianat atau perlakuan jenayah terhadap lelaki itu.
"Pemeriksaan pada badan lelaki itu mendapati tiada sebarang kesan kecederaan atau pergelutan berlaku malah barangan peribadi mangsa seperti beg sandang yang mengandungi identitinya serta dompet masih bersamanya," katanya.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
-- BERNAMA
#ekzos #hos mesin basuh #Hospital Tuanku Jaafar Seremban #kereta #Mantin #mati #mati mengejut #Mohd Faisal Mohd Nor #nilai
;