Lelaki ditemukan lemas ketika menjaring ikan

Bernama
Julai 31, 2022 06:10 MYT
Mangsa datang ke Pantai Morib bersama dua rakannya dari Gombak untuk menjaring ikan secara berasingan. - Foto Sinar Harian
SHAH ALAM: Aktiviti tiga sahabat menjaring ikan di Pantai Morib, Kuala Langat semalam berakhir dengan tragedi selepas seorang daripada mereka ditemukan lemas.
Ketua Polis Kuala Langat Superintenden Ahmad Ridhwan Mohd Nor@Saleh berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada 12.15 tengah hari berhubung penemuan mayat mangsa.
Mangsa, seorang lelaki tempatan berusia 60 tahun, telah datang ke pantai itu bersama dua rakan lelakinya dari Gombak untuk menjaring ikan secara berasingan.
"Mereka berjanji untuk berjumpa semula dua jam setelah berpecah. Dua rakan mangsa telah naik ke pantai namun mangsa tidak.
"Ketika sedang mencari mangsa, dua rakannya melihat orang ramai berkumpul memaklumkan ada orang lemas.
"Dua rakan mangsa kemudian menghampiri mayat itu sebelum mengesahkan ia adalah rakan mereka.
"Mangsa telah dibawa ke Hospital Banting untuk bedah siasat dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut," menurutnya dalam kenyataan.
-- BERNAMA
#jaring ikan #Ahmad Ridhwan Mohd Nor #lemas #Pantai Morib
;