Lelaki ditemukan lemas di bawah jambatan

Nur Fazlizai Ali
Februari 7, 2023 09:30 MYT
Mayat mangsa berjaya dikesan kira-kira 10 minit pencarian dilakukan termasuk lima penyelam Pasukan Penyelamat di Air (PPDA). - Astro AWANI
KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki ditemukan lemas di bawah Jambatan Sultan Mahmud, di Kampung Bukit Tumbuh pada Isnin.
Mayat mangsa yang dianggarkan berusia sekitar 40-an itu ditemui pasukan pencarian kira-kira jam 9.10 malam.
Menurut saksi, Ahmad Taufiq Roslin dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam, dia melihat mangsa sedang mandi bersendirian di sungai berhampiran rumahnya.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Tunggal itu memanggil mangsa yang tidak dikenalinya itu naik kedarat namun tidak diendahkan.
"Saya nak balik rumah lepas itu saya tengok seorang lelaki duduk dalam air waktu Maghrib. Saya pelik, lepas itu dia mandi.
"Selepas itu saya tengok dia nak lemas, saya cuba selamatkan dia tapi tak boleh. Saya cuma dapat pegang rambut sahaja tapi masih terlucut," katanya.
Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Nerus Azmi Omar berkata sejurus menerima panggilan seramai 22 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Nerus dan Kuala Terengganu dikejarkan ke lokasi kejadian.
Katanya mayat mangsa yang kemudian dikenal pasti sebagai Zaid Mohamed, 44, berjaya dikesan kira-kira 10 minit pencarian dilakukan termasuk lima penyelam Pasukan Penyelamat di Air (PPDA).
"Kedalaman air mangsa lemas tu lebih kurang 3 meter dan jarak dalam 50 meter daripada mangsa turun dan dalam masa sama air sedang pasang jadi ada sikit kesukaran jadi pihak ppda berjaya mengambil masa dalam 10 minit," katanya.
Azmi berkata mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
#Balai Bomba dan Penyelamat #lemas #jambatan sultan mahmud #mandi bersendirian
;