Lelaki ditemui rentung dalam kebakaran rumah kedai

Noraniza Kamsani
Januari 23, 2020 09:59 MYT
Kebakaran dapat dikawal jam 2.04 pagi dan operasi tamatnya sepenuhnya pada jam 5.13 pagi. - Foto Ihsan bomba
Satu mayat tanpa identiti ditemui rentung dalam kebakaran empat unit rumah kedai yang terletak di tingkat tiga sebuah bangunan di Jalan Bukit Ubit di sini tengah malam tadi.
Mayat lelaki itu ditemui anggota bomba selepas selesai memadam kebakaran, di salah satu bilik di tingkat tiga rumah kedai berkenaan.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Anuar Hassan berkata, kebakaran melibatkan rumah kedai yang diubahsuai menjadi 27 unit bilik sewa di tingkat tiga.
"Pusat Gerakan Operasi (PGO) menerima panggilan daripada MERS 999 pada jam 12.53 tengah malam mengenai kejadian berkenaan.
"Jentera pertama sampai di lokasi pada jam 12.56 tengah malam dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuantan. Balai bantuan adalah dari BBP Indera Mahkota, BBP Taman Tas dan BBP Gebeng.
"Kekuatan jentera adalah empat buah jentera FRT, tiga buah jentera 'Water Tanker' dan dua buah jentera MERS," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Anuar berkata, kebakaran dapat dikawal jam 2.04 pagi dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 5.13 pagi.
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk proses bedah siasat.
Jumlah keanggotaan yang terlibat dalam operasi memadam kebakaran adalah seramai lapan orang pegawai dan 38 anggota.
#Anuar Hassan #bilik sewa #Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia #JBPM #JBPM Pahang #kebakaran #Kuantan #mangsa #mayat #Pahang #rumah kedai
;