Lelaki ditemui rentung dalam kebakaran rumah

Dewi Nur Harasha Alias
September 5, 2024 11:00 MYT
Mangsa ditemui terbaring di atas katil dan disahkan telah meninggal dunia. - Foto JBPM
BUTTERWORTH: Seorang lelaki maut dalam kebakaran di rumahnya di Jalan Assumption, Butterworth, Pulau Pinang pagi Khamis.
Dalam kejadian jam 1.20 pagi itu, mangsa Liew Hoong Kwee, 55, ditemui meninggal dunia di dalam bilik tidur di rumah berkenaan.
Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 1.28 pagi dan bergegas ke lokasi kejadian.
Sebaik tiba pihak bomba mendapati kebakaran berlaku hanya di bilik tidur di rumah berkenaan dan terdapat seorang mangsa di dalamnya.
"Pemeriksaan di bilik itu menemui mangsa seorang lelaki terbaring di atas katil dan disahkan telah meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang turut berada di lokasi sebelum menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Sementara itu, kerja-kerja overhaul dilakukan pihak bomba yang turut dibantu oleh Pasukan Bomba Sukarela berhampiran.
Setakat ini, punca kebakaran masih dalam siasatan pihak bomba dan polis.
#kebakaran #meninggal dunia #Liew Hoong Kwee #JBPM