Lelaki ditemui maut dalam Myvi terkunci
Aida Aziz
Februari 22, 2024 06:10 MYT
Februari 22, 2024 06:10 MYT
IPOH: Seorang lelaki ditemukan maut dalam sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang terkunci di Taman Rapat Indah, di sini, tengah malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 12.20 tengah malam.
Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh bergegas ke lokasi dan mengesahkan kejadian itu berlaku.
"Setibanya jentera di lokasi kejadian, didapati benar terdapat seorang mangsa lelaki dewasa terkunci di dalam kenderaan jenis Perodua Myvi.
"Mangsa disahkan maut oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya dalam kenyataan awal pagi ini.
Beliau berkata, Komander Operasi membuat 'size up' dan mengarahkan anggota membuka pintu kereta menggunakan peralatan khas.
Menurut Sabarodzi, mangsa diberi rawatan awal oleh pihak KKM yang berada di lokasi kejadian seterusnya diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan lanjut.
Operasi yang diketuai PBK II Ahmad Termizi Hassan itu tamat pada jam 1.13 pagi.