Lelaki ditemui maut dalam longkang selepas mengamuk
Adie Sufian Zulkefli
Disember 7, 2021 05:58 MYT
Disember 7, 2021 05:58 MYT
SUNGAI PETANI: Amukan seorang lelaki berakhir dengan tragedi apabila dia maut selepas terjatuh ke dalam longkang di belakang rumahnya di Taman Dahlia, Sungai Petani, Selasa malam.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah, berkata dalam kejadian sekitar jam 7.30 malam itu, lelaki terbabit dikatakan mengamuk dan membuat bising sehingga menganggu jiran.
Beliau berkata, bimbang sesuatu terjadi, jiran bertindak menghubungi polis memaklumkan kejadian itu.
“Kereta peronda MPV sampai di tempat kejadian menemui seorang lelaki berada di dalam longkang belakang rumah dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Anggota telah menghubungi ambulans dan sebaik tiba pihak kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan lelaki terbabit telah meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Jelas Adzli, lelaki itu tidak berkerja dan tinggal bersendirian di rumah itu.
Hasil semakan rekod perubatan mangsa kepada Bahagian Rekod Hospital Sultan Abdul Halim mengesahkan bahawa mangsa telah mendapatkan rawatan psikiatri dan kali terakhir mendapatkan rawatan adalah pada bulan Mac 2016.
Katanya, mangsa juga terlibat dengan penyalahgunaan dadah.
Mayat mangsa dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Sultan Abdil Halim, Sungai Petani untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.
Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.