Lelaki ditemui maut dalam kereta terbakar di tempat parkir

Sinar Harian
Julai 27, 2023 10:00 MYT
Mayat mangsa ditemui dalam kereta yang terbakar di kawasan parkir Jalan Putra Square 7, Sri Dagangan, di Kuantan, hari ini. - Foto Sinar Harian
KUANTAN: Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia dalam sebuah kereta yang terbakar di kawasan parkir Jalan Putra Square 7, Sri Dagangan di sini pada Khamis.
Mayat mangsa ditemui dengan kesan terbakar di tempat duduk pemandu kereta terbabit.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, kejadian dilaporkan jam 6.58 pagi.
Menurutnya, susulan maklumat diterima, tujuh anggota bomba termasuk pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuantan ke lokasi untuk bantuan memadam kebakaran kereta terlibat.
"Ketika tiba di lokasi mendapati terdapat mangsa dalam kenderaan itu.
"Kerja-kerja pemadaman dilakukan menggunakan dua aliran hos saluran bantu mula air dari tangki jentera," katanya.
Zulfadli berkata, kebakaran berjaya dipadamkan bagaimanapun kereta terlibat musnah terbakar hampir 90 peratus manakala mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. - Sinar Harian
#kereta terbakar #JBPM Pahang #Kuantan #kereta terbakar di kawasan parkir
;